Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad beramah mesra dengan peniaga sekitar pekan Ijok selain mendengar masalah dihadapi mereka pada 7 November 2022. Foto Facebook Dr Dzul 4 Kuala Selangor
AGENDANASIONAL

Kes Covid-19 naik, bekas menteri syor KKM sedia panduan kempen, mengundi

KUALA SELANGOR, 7 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya disyor mengeluarkan garis panduan berkempen dan mengundi susulan peningkatan kes harian Covid-19.

Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu bagi mengingatkan semua pihak untuk sentiasa berwaspada dalam tempoh tersebut menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Kalau boleh tatacara operasi piawai (SOP) diketatkan supaya semua lebih peka untuk elak jangkitan. Walaupun kita sudah beralih ke fasa endemik, langkah berjaga-jaga perlu berterusan.

“Orang ramai juga kena sentiasa pakai pelitup muka bagi mengelakkan jangkitan. Kepada mereka yang belum mendapatkan vaksin, segera berbuat demikian untuk lindungi diri serta keluarga,” katanya ditemui hari ini.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) kerusi Parlimen Kuala Selangor juga mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan kebersihan selain tidak perlu bimbang dengan jangkitan ini.

“Yang jelasnya penularan subvarian Omicron XBB ini melonjak di Singapura dan kita juga berisiko. Namun jangan khuatir kerana kita yakin mampu tangani dengan baik tetapi perlu sentiasa memakai pelitup muka,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar mengingatkan penduduk Selangor untuk sentiasa berwaspada terhadap gelombang kecil Covid-19 yang meningkat ketika ini.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari berharap mereka yang sihat dan lengkap suntikan vaksin supaya tidak bimbang untuk keluar mengundi pada 19 November.

Sebanyak 4,621 jangkitan baharu direkodkan semalam termasuk dua kes import dan Selangor mencatatkan 2,018 kes.

 


Pengarang :