Petugas melakukan penyemburan asap (fogging) bagi mencegah pembiakan jentik-jentik dan nyamuk Aedes ketika tinjauan keadaan di sekitar kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kes demam denggi naik 1.3 peratus minggu lalu, dua kematian

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-45 tahun ini (ME45/22) iaitu dari 6 hingga 12 November meningkat sebanyak 22 kes atau 1.3 peratus kepada 1,715 berbanding 1,693 berbanding pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu berkenaan.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 52,977 kes berbanding 22,581 kes bagi tempoh sama 2021 iaitu peningkatan sebanyak 30,396 kes (134.6 peratus),” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 37 kematian akibat komplikasi denggi turut dilaporkan berbanding 18 kematian bagi tempoh sama pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 19 kematian.

Katanya jumlah lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME45/22 juga meningkat kepada 68 berbanding 50 pada minggu sebelumnya.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah itu, 38 lokaliti hotspot berada di Selangor, Sabah (18), Kuala Lumpur dan Putrajaya (10) dan Perak serta Sarawak (masing-masing satu).

Mengenai survelan chikungunya katanya, sebanyak enam kes direkodkan pada ME45/22 dengan tiga kes dari Pulau Pinang, Selangor (dua) dan Perak (satu).

“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 688 kes,” katanya.

Bagi survelan zika, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 1,800 sampel darah dan 16 sampel urin telah disaring dan hasil kesemuanya adalah negatif.

– BERNAMA


Pengarang :