Calon BN Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berkempen di Bagan Pasir Laut pada 17 November 2022. Foto Facebook Zahid Hamidi
AGENDANASIONAL

Ketua Penerangan Umno letak jawatan, gesa Zahid berundur secara terhormat

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 20 NOV: Ketua Penerangan Umno hari ini melepaskan jawatan susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-15.

Shahril Hamdan turut menggesa Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil tanggungjawab sama dengan berundur secara terhormat.

“Saya sependapat dengan Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) iaitu tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu.

“Pemimpin nombor satu Presiden Umno dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini, berundur secara terhormat.

“Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Onn Hafiz yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor turut mengesa Ahmad Zahid meletak jawatan presiden Umno demi kepentingan dan masa depan parti, lapor Bernama.

Gesaan sama turut dilaungkan Timbalan Pengerusi BN Kulai, Mohd Jafni Md Shukor dan Ketua Pemuda UMNO Pagoh, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, lapor Berita Harian.

Pada PRU15 semalam, BN hanya mampu berpuas hati dengan 30 kerusi sekali gus menjadikan pencapaian terburuk dalam sejarah politik mereka.

Saingan kali ini turut mengorbankan beberapa ‘nama besar’ antaranya veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang, Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid (Padang Terap) dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (Sungai Buloh).

 

 


Pengarang :