Penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika tinjauan pada 4 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Khidmat LRT Kelana Jaya kembali pulih 10 malam tadi

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang mengalami gangguan teknikal petang semalam kembali pulih.

Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan dalam satu kenyataan malam tadi berkata kerja membaik pulih komponen yang rosak akibat disambar petir telah selesai dijalankan.

Menurut kenyataan itu setakat pukul 10 malam tadi, semua operasi tren yang melalui stesen LRT Kerinchi kini beroperasi secara automatik dan normal di kedua-dua hala.

“Pasukan jurutera akan terus memantau kestabilan sistem di kawasan terlibat. Rapid Rail sekali lagi ingin memohon maaf kepada pengguna di atas kesulitan yang dihadapi,” menurut kenyataan itu.

Gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya berpunca daripada Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang (PIES) yang aktif secara tiba-tiba selepas disambar petir di Stesen LRT Kerinchi petang tadi.

Akibat daripada gangguan itu, semua tren yang melalui kawasan berkenaan terpaksa dipandu secara manual, mengakibatkan kelewatan jadual perjalanan dan kesesakan platform berlaku di beberapa stesen.

-BERNAMA


Pengarang :