Bacaan ikrar penjawat awam pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah Alam pada 9 Mac 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Khidmat penjawat awam diteruskan, tidak terjejas pasca-PRU15

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Anggota perkhidmatan awam memberi jaminan akan terus menyempurnakan tugas diamanahkan dengan penuh dedikasi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan tidak terjejas kepada rakyat dan pemegang taruh pada pasca pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata ia juga bagi menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan pembentukan kerajaan selepas pilihan raya umum itu.

“Anggota perkhidmatan awam terus komited mendukung konsep berkecuali dan kerajaan hari ini berlandaskan kedaulatan undang-undang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mohd Zuki juga berkata anggota perkhidmatan awam sentiasa bersiap sedia dan berpegang teguh kepada prinsip dan ikrar perkhidmatan awam demi rakyat serta negara.

PRU15 semalam menyaksikan Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30).

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

-BERNAMA


Pengarang :