Kanak-kanak melakukan susun suai gambar ketika Pesta Buku Selangor 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Kos sara hidup, kebajikan kanak-kanak antara fokus utama belanjawan 2023

SHAH ALAM, 26 NOV : Isu kos sara hidup rakyat dan kebajikan kanak-kanak antara fokus utama Belanjawan Selangor 2023, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha tersebut merangkumi kemudahan kad khas kepada anak istimewa dengan manfaat subsidi yuran pendidikan, bantuan rawatan dan saringan kesihatan.

“Selain itu, kita juga akan membantu wanita bekerjaya yang memerlukan bantuan penjagaan kanak-kanak menerusi program Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Selangor (IMPAK Selangor).

“IMPAK Selangor akan memudahcara pendaftaran pengasuh dan penjaga tidak berdaftar sekali gus mewujudkan industri jagaan di negeri ini selaras semangat Iltizam Selangor Penyayang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2023 di Dewan Negeri di sini, semalam.

Amirudin menjelaskan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) turut diteruskan termasuk meningkatkan jumlah baucar Jom Shopping bagi menangani kenaikan kos sara hidup.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM2.45 bilion dalam Belanjawan 2023 sebagai persediaan mendepani kelembapan ekonomi tahun depan.


Pengarang :