Tren elektrik (ETS) milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Foto Facebook KTM Berhad
AGENDANASIONAL

KTMB sedia tren khas, ETS tambahan sempena PRU15

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan perkhidmatan tren khas Keluarga Malaysia ke Pantai Timur, serta lapan perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula 18 hingga 20 November.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 716 tiket ditawarkan untuk perkhidmatan tren khas dan 2,520 tiket bagi perkhidmatan tren ETS, manakala penjualan tiket akan dibuka mulai hari ini pada 2 petang.

Menurut kenyataan KTMB itu, inisiatif tersebut bagi memberi kemudahan kepada mereka yang akan pulang ke negeri masing-masing, untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15.

“Tren khas akan berlepas pada 3.40 petang (18 November) dari Stesen KL Sentral dan dijangka tiba pada 7.40 pagi (19 November) di Stesen Tumpat manakala tren dari Stesen Tumpat akan berlepas pada 5.10 petang (20 November) dan tiba pada 11.26 pagi (21 November),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, perkhidmatan tren ETS tambahan melibatkan laluan Stesen KL Sentral ke Stesen Padang Besar dan sebaliknya serta Stesen Butterworth ke Stesen KL Sentral, turut disediakan bagi tarikh yang sama.

Tiket boleh didapati melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB. Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB 03-22671200 atau melayari saluran media baharu rasmi KTMB serta laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my untuk maklumat lanjut.

– BERNAMA


Pengarang :