Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran dalam program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sementa, Klang pada 23 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kualiti barangan jualan murah setanding pasar raya, pembeli sanggup datang berulang kali

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

KLANG, 23 NOV: Bukan saja murah tetapi kualiti barangan setanding pasar raya membuatkan orang ramai sanggup datang berkali-kali ke program Jelajah Ehsan Rakyat.

Norhayati Mohamed Noor. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Surirumah Norhayati Mohamed Noor, 48, berkata sudah empat kali beliau membeli barangan asas pada program anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu.

“Saya memang tertunggu-tunggu program ini kerana penjimatan itu hampir separuh harga. Bayangkan jika di pasar borong telur RM16, di sini RM10. Jadi memang sangat bantu untuk jimat.

“Jika dapat maklumat program ini ada di kawasan berdekatan rumah, saya memang sanggup pergi,” katanya ketika ditemui pada program jualan murah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa di Masjid Al-Islah, Kampung Sementa, hari ini.

Norzila Salim. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Sementara itu surirumah, Norzila Salim, 38, berkata ini masuk kali ketiga beliau datang ke program jualan murah negeri dan berharap ia diteruskan sebagai program bulanan.

“Untuk barangan asas seperti ayam, daging, telur dan beras memang saya tunggu program ini dan elak untuk beli di pasar raya kerana boleh berjimat,” katanya.

Pesara Sidin Samah, 62, berkata meskipun murah, kualiti barangan yang dijual memang setanding pasar raya.

Sidin Samah. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Kenapa mahu bayar lebih jika kita boleh berjimat di sini. Saya harap program seperti ini diperluaskan lagi kerana ramai yang mendapat manfaatnya,” katanya.

Program melibatkan 56 DUN itu bermula 6 September dan sepatutnya berakhir 6 Disember, namun Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif itu disambung hingga Mac tahun depan susulan sambutan menggalakkan.

Menerusi program tersebut, ayam standard dijual RM10 seekor, daging pejal segar RM10 per pek, telur gred B RM10 sepapan, ikan kembung atau selayang RM6 setiap pek, minyak masak 5kg RM25 dan beras 5kg RM10.

Penolong Pengurus Kanan Permata Ehsan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Nur Amirah Mahdan menyediakan ayam untuk dijual dalam program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sementa, Klang pada 23 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :