Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Kuang di Dataran Setia, Kampung Setia, Kuang pada 30 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kualiti setanding pasar raya, jualan murah bantu jimat belanja dapur RM200 sebulan

Oleh Diana Abd Wahab

KUANG, 30 NOV: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) membantu menjimatkan belanja dapur ketika orang ramai terkesan dengan kenaikan harga barang ketika ini.

Faridah Hanum Abd Rahim. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Faridah Hanum Abd Rahim, 57, berkata beliau tidak melepaskan peluang membeli barangan dapur setiap kali program jualan murah diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang.

“Sudah 15 kali saya ikuti program JER di DUN Kuang, setiap kali dianjur saya mesti datang. Kualiti barang yang dijual lebih baik berbanding pasar raya.

“Berbaloi saya beratur dari jam 6.45 pagi kerana saya dapat berjimat lebih RM200 sebulan apabila beli barang di sini,” kata suri rumah itu.

Marina Mansor. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, suri rumah Marina Mansor, 47, yang pertama kali mengunjungi JER berkata rakannya menggalakkan datang ke program tersebut.

“Saya tidak tahu Kerajaan Negeri ada anjur jualan murah. Rakan-rakan yang minta saya beli di sini, mereka kata barang dapur murah dan berkualiti. Saya terkejut lihat harga ditawarkan, tidak akan jumpa harga begini di luar,” katanya.

Penyelia kilang Amirul Asraf Omar, 29, sanggup meluangkan masa pada hari cuti untuk merebut tawaran barangan murah.

Amirul Asraf Omar. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Kebetulan ini pertama kali beli kerana kawan-kawan beritahu harga barang dijual murah. Saya rasa program ini amat membantu ringan beban rakyat kerana harga barangan terlalu mahal,” katanya.

Mohd Azhar Abdullah, 54, yang juga pesara berkata JER amat membantu golongan tiada pendapatan tetap membeli barangan asas pada harga murah.

“Memang sangat membantu kerana dapat jimat banyak bila beli di sini. Saya tak kisah tunggu lama asalkan dapat berjimat,” katanya.

Mohd Azhar Abdullah. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Menerusi jualan murah tersebut, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur (RM10 sepapan).

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut menawarkan ikan kembung atau selayang (RM6 per pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Program melibatkan 56 DUN itu bermula 6 September lepas dan sepatutnya berakhir 6 Disember, namun Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif itu disambung hingga Mac tahun depan susulan sambutan menggalakkan.


Pengarang :