EXCO Pembangunan Sosiekonomi V Ganabathirau menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex SUK, Shah Alam pada 26 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Kuota penerima Bingkas ditentu ikut bilangan pengundi setiap DUN

SHAH ALAM, 29 NOV: Jumlah penerima bagi program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) ditentukan berdasarkan bilangan pengundi di sesebuah dewan undangan negeri (DUN).

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata bagi DUN yang mempunyai bilangan pengundi melebihi 100,000 akan menerima sebanyak 843 kuota penerima Bingkas.

Menurutnya, bagi DUN yang mempunyai bilangan pengundi 75,001 hingga 100,000 pula seramai 674 orang layak menerima inisiatif terbabit.

“DUN yang bilangan pengundinya sebanyak 50,001 hingga 75,000 akan menerima 506 kuota penerima dan bawah 50,000 pengundi (337 penerima),” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Taman Templer Sany Hamzan berhubung adakah Kerajaan Negeri berhasrat meningkatkan jumlah penerima Bingkas dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Ganabatirau berkata program bantuan berkenaan ditambah baik dengan penambahan 5,000 kuota penerima menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30,000 orang.

“Jumlah ini dinaikkan berbanding program Kasih Ibu Smart Selangor sebelum ini hanya 25,000 penerima,” katanya.

Bingkas merupakan sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang yang dilancarkan pada akhir Jun bakal memanfaatkan 30,000 keluarga membabitkan peruntukan RM108 juta.

Pada 1 Ogos, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan bayaran Bingkas diagihkan menerusi e-dompet Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.


Pengarang :