Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) selesai membaik pulih Jalan Merbau Sempak, Shah Alam susulan aduan pengguna pada 2 November 2022. Foto Twitter Infrasel
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lagi jalan dibaiki dalam tempoh 24 jam selepas aduan orang ramai

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 4 NOV: Syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) membaik pulih Jalan Merbau Sempak, Shah Alam susulan aduan orang ramai di Twitter.

Jalan di daerah Petaling itu diturap pada 2 November dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.

“Pada hari sama juga, Infrasel melaksanakan kerja mencantas pokok atas dasar keselamatan selain kerja berkaitan di Jalan Paya Jaras Kubu Gajah Merbau Sempak di daerah Petaling,” kata Infrasel di Twitter.

Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) membaik pulih Jalan Merbau Sempak, Shah Alam pada 2 November 2022. Foto Twitter Infrasel

Sepanjang Oktober, beberapa jalan negeri dibaiki sebaik mendapat aduan orang ramai menerusi media sosial agensi itu.

Antaranya Jalan Raja Musa, Kampung Jalan Lama Panchang Bedena, Sungai Besar, Sabak Bernam, Jalan Mikon, Olak Lempit, Kuala Langat, Jalan Sungai Pusu, Gombak dan Jalan Sungai Tekali, Hulu Langat.

Agensi itu meminta orang ramai teruskan membuat aduan dengan memuat naik ciapan di Twitter bersama tanda pagar #infrasel #namajalan #daerah jika berlakunya kerosakan jalan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar menggalakkan orang ramai melaporkan kejadian jalan rosak di komuniti mereka menerusi Twitter.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan proses pelaporan kerosakan jalan di Selangor dipermudahkan dengan aduan di platform berkenaan sebelum ditapis dan disemak secara automatik.

 


Pengarang :