AGENDANASIONAL

Lagi menteri digugur, Noh Omar tidak dicalon pertahan Tanjong Karang

SHAH ALAM, 3 NOV: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar digugur daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-15.

Pengguguran itu melengkapkan senarai lima menteri Kabinet pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak dicalonkan semula.

Pada 1 November, empat menteri yang digugurkan ialah Tan Sri Annuar Musa (Menteri Komunikasi dan Multimedia), Datuk Seri Shahidan Kassim (Menteri Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Halimah Mohamed Sadique (Menteri Perpaduan Negara).

Dalam kenyataan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Facebook malam ini, pemimpin PAS Datuk Che Abdullah Mat Nawi pula diumum mempertahan kerusi Tumpat bawah tiket BN.

Manakala seorang lagi bekas pemimpin PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mempertahan kerusinya di Kuala Nerus bawah tiket BN.

Pengganti Noh di Tanjung Karang Habibah Mohd Yusof dicabar calon Pakatan Harapan Siti Rahayu Baharin, Zulkapferi Hanafi (Perikatan Nasional) dan Azlan Sani Zawawi (Pejuang).

Sementara itu, Shahidan dilaporkan mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi Arau bawah tiket PN.

Selain lima menteri berkenaan, BN dan PN tidak mencalonkan semula beberapa timbalan menteri ketika masing-masing mengadakan majlis pengumuman di Kuala Lumpur kelmarin.

BN menggugurkan Datuk Zahidi Zainul Abidin (Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Datuk Mastura Mohd Yazid (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Tugas-tugas Khas).

PN pula tidak mencalonkan semula Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.


Pengarang :