Pusat pengundian tutup tepat jam 6 petang di Sekolah Menengah Kebangsaan Perimbun, Cheras pada 19 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

LANGSUNG: 70 peratus mengundi tentukan masa depan negara setakat 4 petang

Lebih 3.6 juta layak membuang undi di seluruh Selangor bagi memilih 22 orang anggota Dewan Rakyat. Orang ramai diseru keluar awal kerana cuaca diramal hujan yang boleh mencetuskan kesesakan.

Selangorkini membawa perkembangan terkini daripada beberapa kerusi parlimen terpilih mulai pusat pembuangan undi dibuka pada 8 pagi hingga ia ditutup jam 6 petang.

Laporan ini disediakan oleh Norrasyidah Arshad, Abdul Rahim Sabri, Suhaila Shahrul Annuar, Azian Aziz, Diana Abd Wahab dan Shamz Johan. Jurufoto di lokasi Hafiz Othman, Ahmad Zakki Jilan, Remy Arifin, Yusni Ariffin dan Nur Adibah Ahmad Izam.

Laporan jam 11 pagi hingga 2.40 petang DI SINI

Laporan jam 7.45 hingga 10.45 pagi DI SINI


6.30 petang: Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan 70 peratus pemilih seluruh negara telah menunaikan tanggungjawab setakat 4 petang tadi.

Semua pusat pengundian ditutup

6 petang: Semua pusat pengundi di seluruh negara ditutup dengan rasmi pada jam 6 petang.

Terdahulu, pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sentosa, Hulu Selangor didapati lengang sejak jam 5 petang.

Calon Pakatan Harapan Bangi Syahredzan Johan tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi sekitar jam 4.30 petang.

“Setakat ini, saya lihat secara kasar, peratusan keluar mengundi baik. Di Bangi ini juga bagus. Kita harapkan masa yang tinggal ini, (peratusan) lebih banyak lagi,” katanya.

Di Hulu Langat, Abd Muin Abd Hamid, 21, antara pengundi pertama kali yang menunaikan tanggungjawab di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai.

Beliau bersama rakan-rakannya, juga pengundi pertama kali, berkumpul beramai-ramai sebelum membuang undi.

Pusat mengundi mulai lengang

5.40 petang: Tinjauan Selangorkini di beberapa buah pusat mengundi di Seksyen 18 dan 19 mendapati suasana lengang begitu ketara selepas jam 4 petang walau ada pengundi silih berganti menunaikan tanggungjawab mereka.

Maklum balas daripada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya di situ memberitahu suasana perlahan itu bermula sejak jam 2 petang lagi.

Seramai tiga pengundi yang ditemui memberitahu mereka mahu memilih kerajaan yang bertanggungjawab membantu ekonomi rakyat.

“Saya memilih kerajaan yang membantu rakyat, menjamin kesejahteraan ekonomi, mahu pemimpin yang turun padang, bukan dekat pilihan raya tunjuk muka,” kata Azzura Abu Amin.

“Kita hendak kerajaan yang stabil, siapa yang tidak mahu stabil,” kata pereka grafik, 40, itu lagi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Seksyen 18.

Sementara Anuar Mat Saat berkata beliau mahu kerajaan yang bersih dan telus membantu rakyat. “Bukan kerajaan untuk kepentingan sendiri,” kata pekerja swasta berusi 47 tahun itu.

Bersetuju dengan Anuar, gadis yang mahu dikenali Ila, 26, berkata dia mahu Malaysia menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

“Saya hendak pemimpin yang adil, saksama dan terus menjadikan Malaysia lebih baik (daripada sebelum). Tidak korupsi.

“Kos sara hidup tinggi, tetapi kita hendak pendapatan lebih selesa. Tidak adillah kos sara hidup tinggi tetapi pendapatan rendah, susah rakyat,” katanya.

65 peratus pemilih sudah mengundi

5.30 tengah hari: Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan 65 peratus pemilih seluruh negara telah menunaikan tanggungjawab setakat 3 petang tadi.

Dua buggy bawa warga emas mengundi

5.20 petang: Dua buggy disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Sungai Kertas, Batu Caves yang terletak di kawasan bukit.

Kemudahan berkenaan bertujuan memudahkan pergerakan pengundi warga emas atau individu yang kurang sihat untuk membuang undi bagi Parlimen Gombak sekitar jam 4 petang tadi.

Meskipun dijangkiti Covid-19, seorang suri rumah tetap mengundi di Sekolah Rendah Agama Kampung Melayu Subang.

Noorsiah Mohamed Ali, 59, berkata dia mengikut tatacara operasi piawai untuk dapat mengurangkan risiko jangkitan kepada pengundi lain.

“Saya datang selepas jam 4 petang seperti saranan kementerian selain bawa pen dan cecair pembasmi kuman sendiri. Ini untuk elakkan sentuhan,” katanya.

Sementara itu, petugas kesihatan Siti Nabilah Tk Hassan berkata seramai enam individu positif membuang undi di pusat berkenaan setakat 3 petang tadi.

‘Rider’ rancang jadual penghantaran, tetap tunai tanggungjawab 

5.00 petang: Tinggal lagi satu jam sebelum semua pusat pembuangan undi ditutup pada jam 6 petang.

Pemilih di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Desa Putra bagi kerusi Sepang tidak menyangka proses itu hanya mengambil masa kira-kira 15 minit.

Pekerja restoran Putri Lisa Nadia Tasriffin, 19, yang mengundi bersama kakaknya Putri Noor Allya Tasriffin, 22, berkata pada awalnya mereka risau beratur lama seperti di beberapa tempat lain.

“Namun, rupa-rupanya hanya 15 minit saja di sini. Proses di sini sangat lancar dan cepat. Malah petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sangat mesra,” katanya.

Keadaan cuaca di daerah Sepang, setakat 4 petang tadi, cerah dan pengundi masih datang untuk membuang undi di pusat mengundi di sini.

Sementara itu, bagi kerusi Sungai Buloh, seorang pekerja e-panggilan merancang jadual penghantaran bagi menunaikan tanggungjawab di Sekolah Rendah Agama Kampung Melayu Subang.

Mohd Nor Hidayat Jumin, 30, memanfaatkan masa rehatnya supaya berpeluang membuang undi tanpa menjejaskan pekerjaannya.

Kembar gembira pusat mengundi tidak sesak

4.40 petang: Adik-beradik kembar Suhaida dan Zaida Badarudin, 40, dari Bandar Baru Bangi gembira pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Jalan Empat tidak sesak.

Bekerja sebagai ahli farmasi, kedua-duanya menegaskan tidak perlu takut untuk menunaikan tanggungjawab walau ada risiko penyakit berjangkit.

“Asalkan kita jaga penjarakan, berada di tempat terbuka, risiko menjadi kurang. Tiada apa yang perlu ditakutkan,” kata Zaida selepas membuang undi bagi kerusi parlimen Bangi.

Sementara itu, jalan dari Kuala Kubu Bharu menghala ke pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mashor, Batang Kali sesak teruk kira-kira lima kilometer.

Kenderaan mereka yang ingin membuang undi bagi kerusi parlimen Hulu Selangor diletakkan merata-rata di tepi jalan mengganggu lalu lintas.

Pesakit datang mengundi naik ambulans

4.20 petang: Pengundi saluran lima pusat pengundian di Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Integrasi di Kampung Nakhoda, Batu Caves terpaksa beratur panjang.

Jumlah pengundi kerusi parlimen Gombak, yang ditandingi calon Pakatan Harapan Dato’ Seri Amirudin Shari, tinggi sejak pagi ini hingga pukul 3.30 petang ini.

Pesara guru yang terlantar sakit akibat pendarahan otak sejak 2019 dibawa menaiki ambulans ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Seksyen 17, Shah Alam.

Ambulans itu mengambil Mohd Rosli Mohd Dani, 57, di rumahnya Taman Sri Muda atas permintaan dan kerelaannya sendiri dengan ditemani isteri Rosnah Mahmud, 54, lapor Malaysia Gazzete.

Mereka tiba di pusat mengundi pada jam 10.50 pagi sebelum pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya membawa kertas undi ke kenderaan itu untuk Mohd Rosli memilih.

“Beliau mahu menjadikan contoh kepada anak muda dan golongan dewasa bahawa mengundi itu satu tanggungjawab yang penting dan tidak boleh dipandang ringan,” kata Rosnah.

Sementara itu, sekitar jam 3 petang tadi, cuaca mendung tidak melunturkan semangat orang ramai untuk menunaikan tanggungjawab meski pergerakan agak perlahan di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 18, Shah Alam.

Kakitangan sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Syafiqa, 29, menegaskan kepentingan mengundi untuk melakukan perubahan politik di negara ini.

“Saya mahu pemerintah yang lebih bertanggungjawab. Kerajaan yang boleh perbaiki ekonomi, kos sara hidup pula tinggi, itu yang paling penting. Belia sekarang ada yang sudah berumah tangga, jadi harap semua itu dapat diperbaiki,” katanya.

Berbaki dua jam lagi

4.00 petang: Orang ramai yang belum lagi keluar mengundi masih berbaki dua jam sahaja sebelum proses pembuangan undi ditutup pada jam 6 petang di seluruh negara.

Tiga pengundi meninggal dunia ketika beratur untuk membuang undi di Kelantan dan Johor, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani seperti dilapor portal Harian Metro.

Selain itu, beliau menambah kekecohan berlaku di sebuah pusat mengundi di Ulu Yam, Hulu Selangor berikutan seorang pesakit mental berusia 27 tahun merampas dakwat serta menolak peti undi hingga jatuh.

Bertongkat tetap keluar mengundi

3.40 petang: Penyanyi Nubhan Ahamad, 36, buat pertama kali melaksana tanggungjawab mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 8, Kota Damansara.

Kini seorang usahawan makanan, beliau membuang undi di saluran 10 kira-kira jam 2.55 petang selepas menempuh dua jam perjalanan dari Seremban.

“Saya akui ini kali pertama mengundi. Sekarang kita tengok banyak kempen kesedaran untuk tunaikan tanggungjawab ini demi memakmurkan negara dan saya manfaatkannya,” katanya.

Sementara itu, walau terpaksa bertongkat akibat nahas beberapa bulan lalu, Muhamad Aizat Aluwi, 33, dan Nurrul Anisha Mohamed, 39, menunaikan tangungjawab sebagai pengundi di Sekolah Rendah Agama Serendah, Hulu Selangor.

Mereka tidak beratur lama tengah hari tadi berikutan bilangan pengundi di saluran lima dan enam di pusat pembuangan undi berkenaan tidak ramai.

58 peratus mengundi setakat 2.00 petang

3.30 tengah hari: Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan 58 peratus pemilih seluruh negara telah menunaikan tanggungjawab setakat 2 petang tadi.

Papan kempen calon tumbang

3.20 petang: Tinjauan Selangorkini di sepanjang Jalan Kapar-Klang kira-kira 2 petang mendapati sekurang-kurangnya lima papan besar kempen calon pelbagai parti tumbang, dipercayai ditiup angin malam tadi.

Calon Pakatan Harapan Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid bergerak ke Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Kuala Langat petang ini.

Di sebelah pagi, beliau mengambil kesempatan untuk melawat pusat mengundi di kawasan yang ditandinginya terlebih dahulu.

Beratur tiga jam dalam panas

3.00 petang: Cuaca panas tidak menghalang pengundi untuk terus beratur menunggu giliran membuat pilihan di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Merab Luar, Sepang.

Pengundi pertama kali Syazwani Husna Shahbi Saiful, 20, berkata beliau terpaksa beratur lebih tiga jam untuk mendapatkan giliran mengundi.

Sementara itu, pada 12.30 tengah hari tadi, calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau keadaan di Pusat mengundi Kolej Vokasional Gombak (KVG).

 


Pengarang :