Calon Pakatan Harapan Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan melihat keadaan rumah penduduk di Kampung (MPKK) Melayu Subang yang terjejas banjir kilat susulan hujan lebat pada 10 November 2022. Foto Facebook Ramanan Ramakrishnan DR
AGENDANASIONAL

Lapan negeri terjejas banjir, libatkan 3,546 mangsa di 39 PPS

SHAH ALAM, 17 NOV: Jumlah mangsa banjir di Selangor mencatatkan angka tertinggi apabila 1,255 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 12 tengah hari tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi Facebook memaklumkan sebanyak 16 PPS dibuka bagi menempatkan mangsa banjir yang terdiri daripada 336 keluarga.

Tujuh daerah terjejas dalam bencana alam itu ialah Sabak Bernam, Klang, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling, Kuala Langat dan Sepang.

Terdahulu jumlah keseluruhan mangsa banjir di negara iaitu seramai 3,546 orang daripada 1,047 keluarga melibatkan tujuh negeri yang terjejas.

Negeri lain yang turut terjejas iaitu Kelantan mencatatkan 1,194 mangsa daripada 405 keluarga, Perak (559 mangsa, 159 keluarga) dan Johor (325 mangsa, 80 keluarga).

Selain itu Sarawak (132 mangsa, 42 keluarga), Melaka (48 mangsa, 13 keluarga) dan Pahang (33 mangsa, 12 keluarga),

Jumlah PPS yang dibuka di seluruh negara ialah 39 PPS.


Pengarang :