Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek (kiri) menyampaikan cek cura kepada Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Hamidon (kanan) atas kejayaan ke perlawanan akhir Piala Malaysia di Putrajaya Marriot Hotel pada 25 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Layak ke akhir Piala Malaysia, setiap pemain Selangor FC terima RM10,000

PUTRAJAYA, 26 NOV: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memberi ganjaran RM10,000 kepada setiap pemain Selangor FC atas kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022.

Insentif khas dengan nilai keseluruhan RM229,500 disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Hotel Marriott Putrajaya dekat sini, malam tadi

Amirudin berkata sumbangan itu diyakini menyuntik semangat baharu kepada skuad Gergasi Merah untuk merampas kembali piala berprestij yang kali terakhir dirangkul pada 2015.

“Insya-Allah jika mereka berjaya membawa Piala Malaysia, saya akan cukupkan RM50,000 kepada setiap pemain dan pegawai bertugas sepanjang perlawanan ini.

“Saya harap ganjaran ini memberi motivasi kepada pemain untuk merampas kemenangan Piala Malaysia yang sudah sekian lama tidak sampai di Selangor,” katanya ketika ditemui.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI Norita Mohd Sidek, CEO Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

Sementara itu, Norita mengharapkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe menampilkan aksi terbaik untuk melakar kejayaan manis buat Selangor.

“Ini adalah suatu pertandingan yang dinanti-nantikan untuk menjaga maruah kita di Selangor. Jika berjaya (rangkul piala), sudah tentu akan menjadi kejayaan manis dan bermaruah,” katanya.

Skuad merah kuning itu berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC dengan agregat 3-2

Selangor FC bakal membuat perhitungan dengan Johor Darul Ta’zim di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam  ini.


Pengarang :