EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) ketika sesi dialog pada majlis perasmian program mekar kasih ibu tunggal Selangor 2022 di Hotel Glenmarie Resort, Shah Alam pada 2 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 1,000 ibu tunggal bakal terima insentif pembangunan ekonomi

SHAH ALAM, 26 NOV: Lebih 1,000 ibu tunggal seluruh Selangor bakal menerima insentif pembangunan ekonomi tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan bagi meningkatkan potensi dan produktiviti golongan itu membabitkan peruntukan RM336,000.

“Lonjakan kemiskinan disebabkan pandemik meluaskan jurang kemiskinan gender. Hal ini dibuktikan menerusi kajian Institut Wanita Berdaya pada 2020 apabila 45 peratus daripada kumpulan ibu tunggal melaporkan mereka kehilangan pendapatan.

“Bagi mendepani cabaran ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan insentif pembangunan ekonomi ibu tunggal agar golongan ini dapat meningkatkan kapasiti dan menambah baik kehidupan,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 semalam.

Dalam pada itu, Amirudin berkata sejumlah RM300,000 diperuntuk bagi pelaksanaan program Insentif Digital Media Usahanita Muda dengan memberi peluang kepada wanita muda seluruh negeri meneroka bidang keusahawanan melalui platform digital.

“Dalam memacu agenda pembangunan, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan tiada rakyat Selangor yang akan ketinggalan dalam menempatkan diri dalam arus pendigitalan dunia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan insentif kuota khas pemilikan rumah mampu milik seperti Rumah Selangorku bagi membantu ibu tunggal mempunyai kediaman sendiri.

“Pendekatan ini dapat direalisasikan dengan kerjasama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi memastikan pemaju memenuhi tanggungjawab sosial korporat dalam usaha untuk tidak meminggirkan golongan berkenaan memiliki rumah kediaman,” katanya.


Pengarang :