Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk R Ramanan (kiri) ketika meninjau proses membuang undi di pusat mengundi Parlimen Sungai Buloh pada 15 November 2022. Foto ihsan Datuk R Ramanan
SELANGOR

Lebih 1,000 mengundi awal di Sungai Buloh setakat tengah hari

PETALING JAYA, 15 NOV: Lebih 1,000 tentera dan polis termasuk pasangan sekitar Parlimen Sungai Buloh menunaikan tanggungjawab mengundi awal bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) setakat 12 tengah hari tadi.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk R Ramanan berkata jumlah itu merangkumi pusat undi di Kem Sungai Buloh Markas 11 Briged, Kem Paya Jaras dan Balai Polis Kampung Baru Subang dekat sini.

“Kita yakin lebih ramai anggota akan keluar mengundi sehingga tamat waktu ditetapkan pada jam 5 petang. Pengundi lebih ramai waktu pagi.

“Jumlah direkodkan ini membuktikan anggota tentera, polis berminat untuk ambil bahagian pada PRU15. Ini sesuatu yang bagus untuk negara,” katanya ketika meninjau proses membuang undi di tiga lokasi terbabit.

Setakat 2 petang ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratusan keluar mengundi sebanyak 85 peratus.

Semalam, Setiausahanya Datuk Ikmalrudin Ishak berkata seramai 224,828 pengundi awal akan keluar mengundi hari ini di 578 pusat mengundi seluruh negara serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Jumlah melibatkan 117,473 anggota tentera dan pasangan serta 107,355 polis, polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan.


Pengarang :