Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat gerai pameran sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 20 acara menarik menanti pengunjung jelajah bantuan rakyat di Hulu Selangor

SHAH ALAM, 28 NOV: Pengunjung Jelajah Selangor Penyayang di Hulu Selangor pada 3 dan 4 Disember berpeluang mengikuti lebih 20 acara menarik.

Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor memaklumkan program yang berlangsung di Persiaran As-Salam Bukit Sentosa antaranya menyajikan acara sukan rakyat, bazar rakyat, mencanting batik, menaiki beca dan jualan makanan kendera saji.

Jelajah bantuan rakyat mulai jam 8 pagi hingga 5.30 petang turut menampilkan persembahan artis jemputan, tarian kebudayaan, karate, wushu dan cabutan bertuah selain saringan kesihatan secara percuma dan Jualan Ehsan Rakyat.

Bertemakan Membudaya Kesihatan Berkualiti, jelajah fasa dua bagi memperkenal pelbagai inisiatif baharu dan ditambah baik untuk rakyat bakal dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Peserta membuat pemeriksaan kesihatan ketika program Selangor Saring sempena Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kali terakhir program itu diadakan sebelum pilihan raya umum ke-15 di Sepang pada 29 dan 30 Oktober lalu.

Sebelum ini, jelajah sama sudah dianjurkan di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam dan Stadium Sultan Sulaiman, Klang.

Acara sama turut berlangsung di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat, Stadium Utama Kuala Selangor, Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Padang Awam Batu Caves dan Stadium Sungai Besar.


Pengarang :