Pelajar Unisel mengulang kaji pelajaran bersama rakan di Kolej Kediaman Bestari Jaya (KKBJ). Foto Facebook Unisel
AGENDANASIONALSELANGOR

Lebih 4,000 pelajar Unisel, UIS bakal terima tajaan yuran

SHAH ALAM, 25 NOV: Lebih 4,000 pelajar Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) bakal mendapat tajaan yuran asas pengajian dari Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata tajaan itu membabitkan peruntukan RM4 juta bagi membantu mahasiswa anak Selangor dari keluarga berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

“Program Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU) ini telah memberi manfaat kepada ramai pelajar ketika mula dilaksanakan pada 2021 akan diteruskan bagi 2023 untuk disalurkan kepada UIS dan Unisel,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan 2023, hari ini.

Pada masa sama, Amirudin turut berbangga dengan kejayaan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) yang diiktiraf sebagai universiti penuh dengan gelaran UIS pada 30 September lalu.

“Universiti ini terus menjadi legasi pendidikan DYMM Sultan Selangor yang sentiasa dipelihara dan disantuni menjadi pemangkin tradisi ilmu dan penyatuan umat Islam di Selangoruntuk melahirkan dai, ulama dan umarak.

“Pengiktirafan naik taraf ini membawa UIS sebagai sebuah universiti yang gemilang dalam melahirkan dai, ulama dan umara bertekad ke arah mencapai kecemerlangan pengurusan, akademik dan sahsiah pelajar melalui penggunaan teknologi terkini dan perkhidmatan berkualiti berteraskan al-Quran dan al-Sunnah,” katanya lagi.


Pengarang :