Lebih 500 penduduk Kampung Kubu Gajah dan sekitar Paya Jaras mengunjungi program Jelajah Ehsan Rakyat yang diadakan di perkarangan rumah Ketua Kampung Kubu Gajah pada 24 November 2022. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 500 penduduk kunjungi jualan murah di perkarangan rumah ketua kampung

OLEH SHAMZ JOHAN

SUNGAI BULOH, 24 NOV: Perkarangan rumah Ketua Kampung Kubu Gajah di sini menjadi tumpuan orang ramai yang mahu mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah hari ini.

Lebih 500 penduduk kampung serta kawasan sekitar Paya Jaras tiba seawal pukul 8 pagi untuk mengunjungi program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) itu.

Pengarah Pejabat DUN Paya Jaras berkata nombor giliran habis diedar pada pukul 9 pagi namun orang ramai tidak putus-putus hadir.

“Pukul 9 pagi nombor giliran habis tetapi orang ramai tetap hadir dan menunggu di sini,” kata Hamka Hassan yang turut memaklumkan perancangan menganjurkan program sama bermula Januari 2023 telah dibuat dan menunggu maklum balas Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Hairul Ihwan Matwi, 38, berkata dia puas hati walaupun beratur lama dapat membeli barang keperluan pada harga jimat.

“Saya menunggu tiga jam sejak pukul 8 pagi namun puas hati kerana dapat berjimat, datang sini memang cari (beli) telur, ayam, minyak dan ikan,” kata penunggang perkhidmatan p-hailing itu.

Suri rumah, Nur Sabrina Izam Hasrin, 25, berharap lokasi program itu ditambah lagi pada masa depan.

“Program ini bagus tapi harap boleh banyakkan lokasi, hari ini saya dapat jimat lebih dari separuh berbanding beli (barang mentah) di luar. Tiga barang ini, telur, ayam, daging baru RM30, jika di luar sudah hampir RM60,” katanya.

Suri rumah Nur Sabrina Izam Hasrin membeli barang keperluan dalam program Jelajah Ehsan Rakyat yang diadakan di perkarangan rumah Ketua Kampung Kubu Gajah pada 24 November 2022. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan Mat Yusop, yang turut hadir menganggap program itu antara yang paling baik dan berharap konsep serupa dibawa ke kerajaan pusat.

“Ini antara program paling baik dalam situasi harga naik, ekonomi menurun. Kerajaan Negeri ada lebih 40 jenis bantuan. Saya harap jika dapat tubuh kerajaan, program serupa dibawa ke peringkat pusat,” katanya.


Pengarang :