Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) bersama EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika simbolik perasmian program Baucar Halal Selangor 2022 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 8,000 penduduk kurang mampu bakal terima baucar halal RM100

SHAH ALAM, 29 NOV: Lebih 8,000 penduduk kurang berkemampuan negeri ini disasar menerima baucar halal bernilai RM100 untuk membeli-belah.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pusat khidmat masyarakat (PKM) dari 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mengenal pasti penerima yang layak mendapat manfaat itu.

“Pemberian baucar ini bertujuan meringankan beban rakyat terutama dalam mendepani cabaran pascapandemik Covid-19 dan peningkatan harga barangan di pasaran.

“Kita menyasarkan antara 100 hingga 150 penerima dari setiap DUN memperoleh baucar yang boleh digunakan untuk membeli barang keperluan berstatus halal dalam satu transaksi di KoHijrah, Mydin, Azzainmart, Peneraju Kedai Halal dan 99 Speed Mart,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata inisiatif itu juga sebagai menyokong dan mempromosi produk halal khususnya kategori mikro dan kecil, sekali gus memperkasa industri terbabit di Selangor.

Mohd Zawawi mengakui pasaran halal cukup meluas selain melangkaui kelompok pengguna termasuk orang bukan Islam.

“Ia membantu masyarakat Islam untuk memenuhi tuntutan dalam pematuhan syariah Islam dan menawarkan masyarakat bukan Islam akses kepada pelbagai produk yang disahkan bersih, selamat dan berkualiti tinggi.

“Malah ia selari fokus Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor sebagai pilihan utama bagi perdagangan halal di rantau ini mahupun peringkat global,” katanya.

Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi pelaksanaan baucar halal tahun depan yang membantu rakyat berbelanja barangan asas selain meningkatkan pengeluaran produk halal kepada pemain industri.

Program Baucar Halal mula diperkenalkan September lalu dengan 2,800 berjaya diedar kepada golongan berkaitan setakat ini, sekali gus menyaksikan peningkatan 65 peratus bagi sasaran tahun depan.


Pengarang :