Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa (kiri) menjawab pertanyaan pemberita selepas meninjau Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong sempena Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Lelaki ditahan bantu kes serang bas Selangor FC

OLEH FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 22 NOV: Seorang lelaki berusia 27 ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam insiden melontar objek ke arah bas pasukan Selangor FC di luar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu malam tadi.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata individu berasal dari Manir, Kuala Terengganu itu diberkas ketika melakukan perbuatan tersebut di tempat kejadian.

“Insiden tersebut bermula apabila kira-kira 300 penyokong Terengganu FC berkumpul di luar stadium iaitu laluan keluar penyokong Selangor FC.

“Arahan bersurai telah diberikan namun ketika bas pasukan Selangor FC keluar, tiba-tiba beberapa kumpulan telah melontarkan batu dan beberapa objek keras ke arah bas,” katanya dalam kenyataan di Facebook Polis Terengganu hari ini.

Rohaimi menjelaskan insiden tersebut telah menyebabkan bas pasukan Selangor FC mengalami kerosakan pada bahagian cermin tingkap dan badan kenderaan.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya.

Menurutnya polis sedang menggerakkan pasukan khas untuk mengesan suspek lain yang terlibat.

Dalam perlawanan itu, Selangor FC mara ke final Piala Malaysia selepas menumpaskan Terengganu FC secara argregat 3-2 di separuh akhir kedua malam tadi.


Pengarang :