Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid. Foto Facebook Polis Daerah Petaling Jaya
AGENDAJENAYAH

Lelaki ditahan tak sampai tujuh jam selepas ragut warga emas

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Polis menahan seorang lelaki selepas meragut telefon bimbit warga emas yang sedang menunggu isterinya di hadapan sebuah stesen minyak di Petaling Jaya, pada 19 November 2022.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan pada 5.40 petang hari sama di tepi Jalan PJS5, Petaling Jaya.

Mohamad Fakhruddin berkata dalam kejadian pada 11 pagi Sabtu itu, suspek meragut tetefon bimbit milik lelaki warga emas berusia 72 tahun yang sedang duduk di kerusi di hadapan stesen minyak di SS1 Petaling Jaya.

“Selepas disoal siasat lelaki berkenaan mengaku melakukan jenayah itu dan membawa anggota polis ke sebuah rumah di Sungai Way.

“Polis menemukan pakaian yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah tersebut dan empat telefon bimbit dipercayai disamun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhruddin berkata dengan tangkapan berkenaan pihaknya berjaya menyelesaikan tiga kes samun yang berlaku di sekitar Petaling Jaya.

“Suspek yang mempunyai 22 rekod jenayah lampau dan satu rekod membabitkan dadah direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun tanpa senjata,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :