Pengguna Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) menunggu giliran untuk menaiki pengangkutan awam itu ke destinasi masing-masing ketika tinjauan di Stesen LRT Pasar Seni pada 25 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

LRT Kelana Jaya dijangka kembali beroperasi dalam tempoh terdekat

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Sistem isyarat dan komunikasi bagi transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya dalam keadaan baik dan berkemungkinan besar dapat kembali beroperasi tidak lama lagi, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Hari ini, mereka akan menguji 38 set tren di sepanjang laluan dengan jarak lima minit antara setiap set tren.

“Saya boleh laporkan bahawa sistem isyarat dan komunikasi dalam keadaan baik dan kemungkinan besar kita dapat kembali kepada pengoperasian normal kesemua 38 hingga 40 tren di sepanjang laluan Kelana Jaya tidak lama lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Katanya pagi ini beliau telah diberi taklimat tentang pengujian sistem kawalan tren automatik (ATC) oleh Rapid Rail yang bermula pukul 11 malam semalam hingga 5 pagi tadi, sambil dipantau oleh Bahagian Perancangan dan Penguatkuasaan Rel Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Matlamat utama pengujian ini adalah untuk memastikan kestabilan dan keselamatan sistem sebelum meneruskan pengoperasian penuh. Pasukan ini telah menggerakkan 24 set tren di sepanjang laluan Putra Heights-Gombak,” katanya.

Wee berkata beliau akan terus memantau perkembangan isu itu termasuklah ketika berada di kawasan Ayer Hitam, Johor untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-15.

“Mudah-mudahan saya dapat membawa berita baik esok,” katanya.

Sebelum ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung tujuh hari bermula 9 hingga 15 November susulan perkhidmatan yang didapati tidak stabil.

Penggantungan sementara itu selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang diambil untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya kini hanya beroperasi dari stesen Gombak ke stesen Damai serta dari stesen Lembah Subang ke stesen Putra Heights.

– BERNAMA


Pengarang :