Keluarga Amir Aripin Khan merakam potret berlatar belakangkan pemandangan Taman Tasik Shah Alam ketika tinjauan pada 28 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Manfaat cuti umum bersama keluarga, rakan di lokasi tumpuan

SHAH ALAM, 28 NOV: Orang ramai mengambil peluang cuti umum hari ini bersantai bersama keluarga selain menyelesaikan urusan masing-masing.

Mereka memanfaatkan cuti dengan bersiar-siar, menjamu selera, membeli barang bersama rakan dan keluarga.

Masaleh Ghazali, 62, berkata dia bersama ahli keluarga dari Bedong, Kedah tiba di Shah Alam kelmarin untuk menghadiri istiadat konvokesyen anak bongsunya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

“Selepas selesai konvokesyen anak, kami mengunjungi pusat beli-belah dan Taman Tasik Shah Alam di sini sebelum pulang petang ini,” katanya.

Masaleh Ghazali

Sementara itu, Faniza Atira Ahmad, 21, berkata cuti hari ini dimanfaatkan dengan menyiapkan tugasan universiti yang diberikan pensyarah sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bersama rakannya Nurul Ismah Izzati Mohammad Zabidi, 21.

“Minggu lepas masing-masing pulang ke kampung untuk mengundi, baru hari ini kami sempat buat projek penggambaran video bagi kursus Bahasa Mandarin yang perlu dihantar esok.

Faniza Atira Ahmad (kanan) bersama rakannya Nurul Ismah Izzati Mohammad Zabidi

“Kami memilih Taman Tasik Shah Alam untuk tugasan ini kerana lokasinya menarik selain suasananya tenang dan santai,” kata penuntut semester tiga jurusan seni halus UiTM Shah Alam itu.

Bagi Amir Aripin Khan, 39, ketika ramai penduduk dari Lembah Klang pulang ke kampung dia memilih untuk bersama keluarga dan membawa mereka beriadah di Taman Tasik Shah Alam.

“Seronok dapat berkumpul dengan ibu bapa, isteri, anak dan adik-beradik lain pada hari cuti begini. Kami boleh melakukan aktiviti menyihatkan seperti bermain badminton dan makan bersama sambil menghirup udara segar.

“Paling penting boleh mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan walaupun kami tinggal berhampiran dan kerap berjumpa,” katanya yang bekerja sebagai jurutera.

Amir Aripin Khan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hari ini sebagai cuti peristiwa sempena pembentukan kerajaan perpaduan dan pelantikannya sebagai perdana menteri ke-10.


Pengarang :