Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pengundi ketika berkempen di Selayang Baru, Gombak pada 12 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Manfaat dirasai semua, Selangor contoh terbaik jaga kebajikan rakyat

GOMBAK, 12 NOV: Selangor antara contoh kerajaan yang menyediakan banyak program kebajikan dengan manfaat dirasai setiap warganya, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak berkata setiap hasil diperoleh dikongsi menerusi pelbagai pakej bantuan bermula dari bayi sehingga warga emas.

“Baru-baru ini kita perkenalkan pula Skim Insurans Am Selangor (INSAN), siapa yang dapat? Dari bayi 30 hari sehingga warga emas 80 tahun.

“Kalau terjadi sesuatu dapat perlindungan RM10,000, kita sedia ini kepada enam juta warga Selangor,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar pada ceramah di Selayang Baru di sini malam ini.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan amanatnya kepada pengundi ketika berkempen di Selayang Baru, Gombak pada 12 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Atas segala inisiatif disediakan bawah Kerajaan Negeri, Amirudin memohon sokongan pengundi Parlimen Gombak untuk membolehkannya menyumbang di peringkat persekutuan.

“Minta keluar ramai-ramai mengundi, semak di mana hendak buang undi dan undi nombor dua pada 19 November nanti,” katanya.

Amirudin yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat lagi pencabar bagi Parlimen Gombak.

Beliau mencabar penyandang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dari Perikatan Nasional yang mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.


Pengarang :