Anggota polis mengawal lalu lintas di Lebuhraya Taman Connaught, Kuala Lumpur yang terjejas banjir kilat dengan air setinggi paras betis pada 30 November 2022. Facebook Polis KL
AGENDANASIONAL

Mangsa bah Selangor kekal, beberapa jalan di Kuala Lumpur terjejas banjir kilat

SHAH ALAM, 30 NOV: Tiga daerah di dua negeri masih terkesan banjir dengan 402 orang daripada 116 keluarga berlindung di empat pusat pemindahan sementara setakat jam 4 petang tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi Facebook memaklumkan mangsa banjir di Selangor kekal dengan 90 orang manakala Perak meningkat kepada 312 orang.

Sementara itu beberapa jalan di Kuala Lumpur mengalami banjir kilat akibat hujan lebat kira-kira jam 5 petang menyebabkan terdapat laluan terpaksa ditutup.

Antara laluan yang terjejas termasuklah Jalan Parlimen ditutup kedua-dua arah, Lebuhraya Taman Connaught (satu lorong ditutup), sekitar Jalan Travers dan Lebuhraya Sultan Iskandar apabila air bah naik pada paras betis.

Dalam pada itu MetMalaysia menjangkakan hujan lebat berterusan akan bermula di timur Sabah, pantai timur dan utara Semenanjung bermula 1 hingga 5 Disember disebabkan angin timuran yang kencang dari barat Lautan Pasifik.

Pada masa sama cuaca bertekanan rendah yang terbentuk di Laut China Selatan diramal bergerak ke arah barat merentasi sempadan Malaysia-Thailand pada Sabtu dan Ahad ini dan kewujudannya boleh meningkatkan intensiti hujan.

Terdahulu, Jumlah mangsa banjir kembali meningkat dengan 368 orang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi.


Pengarang :