Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah melakukan pemantauan di sekitar Sungai Anak Bukit, Alor Setar berikutan air sungai mencatatkan paras waspada pada 9 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Kedah meningkat, Selangor kekal, tiga negeri lain menurun

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat sedikit, di Selangor kekal manakala bilangan di Kelantan, Melaka dan Johor menunjukkan penurunan setakat malam tadi.

Di Kedah, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 53 orang daripada 13 keluarga dengan pembukaan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Bandar Baharu setakat 8 malam berbanding 42 individu daripada 11 keluarga petang.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata PPS Surau Kampung Berjaya, yang dibuka pada 6 petang, menempatkan 13 orang daripada tiga keluarga.

“Hujan lebat menyebabkan paras air naik dan menjejaskan tiga rumah di Kampung Berjaya dalam Mukim Bagan Samak. Sistem perparitan yang tersangkut juga menyebabkan aliran air bergerak perlahan,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata satu lagi PPS di daerah Kulim iaitu Masjid Sungai Seluang menempatkan 40 mangsa daripada 10 keluarga.

Di Selangor, laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu kekal 184 orang daripada 51 keluarga sejak petang.

Sebanyak tiga PPS masih beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sireh, Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Chih Batang Berjuntai, masing-masing dibuka sejak 11 dan 12 November lepas.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus merekodkan penurunan kepada 2,036 orang daripada 686 keluarga setakat 8 malam berbanding 2,090 orang membabitkan 692 keluarga pada petang tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana JKM, semua mangsa banjir ketika ini ditempatkan di lapan PPS di daerah Pasir Mas manakala mengikut laporan laman sesawang rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran, Sungai Golok di Rantau Panjang merekodkan bacaan melepasi paras amaran 8.97 meter dengan trend menurun.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir menurun kepada 59 mangsa daripada 16 keluarga setakat 8 malam berbanding 64 orang daripada 18 keluarga petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah ditempatkan di dua PPS.

“Seramai 48 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal manakala 11 mangsa daripada tiga keluarga berlindung di PPS Japerun Kesidang.

“Kesemua mangsa terjejas akibat banjir itu dari Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau, Kampung Belimbing, Pengkalan, Kampung Panchor dan Taman Tamby Chik Karim,” menurut sekretariat itu.

Di Johor, empat daerah masih terjejas akibat banjir kilat iaitu Tangkak, Kluang, Segamat dan Pontian dengan bilangan mangsa menurun sedikit kepada 343 orang setakat 8 malam berbanding 346 orang petang.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa yang terdiri daripada 85 keluarga masih ditempatkan di enam PPS di empat daerah iaitu 39 orang di Balai Raya Kampung Batu Badak, 14 individu masih berada di Dewan Komuniti Tasek, Segamat manakala 32 lagi di Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof di Kluang.

“Di SK Melayu Raya, Pontian masih terdapat 15 mangsa manakala SK Simpang 5 Darat dan Sekolah Agama Simpang 5 Darat menempatkan mangsa paling ramai masing-masing 135 dan 108 orang,” menurut jawatankuasa itu.

Cuaca di beberapa daerah di Johor dilaporkan mendung termasuk Batu Pahat, Kota Tinggi dan Mersing.

– BERNAMA


Pengarang :