Mangsa banjir, Endang Abdul Rahman, 52, kelihatan mengemas buku sekolah anaknya yang basah selepas rumahnya dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Johan Setia, Klang pada 18 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALSELANGOR

Mangsa banjir di Selangor, Johor dan Kelantan menurun

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Jumlah mangsa banjir di tiga negeri iaitu Johor, Selangor dan Kelantan menunjukkan penurunan pagi ini manakala Sabah menjadi negeri terbaharu terjejas bencana itu.

Di Selangor, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor melaporkan setakat 8 pagi tadi, bilangan mangsa banjir menurun kepada 1,092 orang berbanding 1,153 orang malam tadi.

Sebanyak 14 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu enam di Sepang, empat di Kuala Selangor, dua di Sabak Bernam manakala masing-masing satu di Kuala Langat dan Klang.

Di Johor, bilangan mangsa banjir kilat di Segamat dan Tangkak menurun kepada 278 orang setakat 8 pagi berbanding 283 orang malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa yang terdiri daripada 70 keluarga ditempatkan di empat PPS.

Menurut kenyataan itu, di Tangkak seramai 122 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang 5 Darat dan 103 orang berada di Sekolah Agama Simpang 5 Darat manakala di Segamat, 39 orang ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak dan 14 orang di Dewan Komuniti Tasek.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir termenung di Rantau Panjang, Pasir Mas berkurang kepada 401 orang daripada 115 keluarga setakat 8 pagi berbanding 667 orang daripada 234 keluarga malam tadi.

Berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di PPS SK Tok Deh, SK Kubang Kual, PPS Putat Tujoh dan SK Gual Periok.

Di Sabah, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Sabah Misran Bisara berkata beberapa kawasan di daerah Sook dan Nabawan mengalami banjir pagi ini berikutan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

Beliau berkata kawasan terjejas di Sook adalah Kampung Tiolon, Kampung Rancangan Belia dan Kampung Kusina manakala di Nabawan membabitkan Kampung Magulasing dan Kampung Lima namun tiada PPS dibuka setakat pagi ini.

Situasi banjir tersebut juga tidak menjejaskan proses mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 di Sook dan Nabawan.

Di Perak, mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 862 orang daripada 243 keluarga setakat 7 pagi berbanding 844 orang daripada 239 keluarga, malam tadi dengan kesemuanya ditempatkan di sembilan PPS.

Di Melaka, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal seperti malam tadi iaitu 44 orang membabitkan 10 keluarga setakat 8 pagi.

Mangsa terjejas adalah penduduk dari Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau, Kampung Belimbing, Kampung Panchor dan Lubok China dengan kesemunya ditempatkan di PPS Dewan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal.

Di Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak memaklumkan mangsa banjir kekal seperti malam tadi iaitu tiga orang daripada satu keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Kompleks ICQS Tedungan di Limbang.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan memaklumkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Pahang, Melaka dan Johor hingga 12 tengah hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :