Pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Johan Setia, Klang dibuka untuk menempatkan mangsa banjir ketika tinjauan pada 10 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Selangor, Perak meningkat pagi ini

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Jumlah mangsa banjir di Perak dan Selangor meningkat manakala bilangan mangsa di Johor serta Kelantan kekal dan Melaka menunjukkan penurunan, setakat pagi ini.

Di PERAK, sebanyak 524 mangsa daripada 153 keluarga masih ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di lima daerah setakat 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah itu menyaksikan terdapat kenaikan berbanding 447 mangsa pada 8 malam, semalam.

Daerah Manjung di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Layang-Layang Kiri merekodkan pertambahan jumlah mangsa daripada 85 kepada 107 orang diikuti PPS Shahriman Beruas melibatkan 91 mangsa dan SMK Padang Serai pula 69 mangsa.

“Daerah Manjung dan Perak Tengah merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir sementara Larut Matang dan Selama menunjukkan penurunan dengan penutupan dua PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Jelapang dan Kampung Halt semalam,” katanya.

Di SELANGOR, laman web InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa banjir meningkat pagi ini kepada 196 mangsa daripada 55 keluarga berbanding 184 mangsa (51 keluarga), semalam.

Lima PPS sedang beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sireh di Tanjung Karang, Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Chih Batang Berjuntai di Kuala Selangor dan dua PPS yang baru dibuka iaitu Dewan Sri Nakhoda dan Dewan Simpang 5 di Sabak Bernam.

Di JOHOR, bilangan mangsa banjir kilat di empat daerah iaitu Kluang, Segamat, Pontian dan Tangkak, kekal 345 orang daripada 85 keluarga setakat 8 pagi ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan di Segamat, 39 orang ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak dan 14 mangsa di Dewan Komuniti Tasek; 32 orang di Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof di Kluang dan 15 orang ditempatkan di SK Melayu Raya, Pontian.

Dua PPS di Tangkak iaitu SK Simpang 5 Darat dan Sekolah Agama Simpang 5 Darat, masing-masing menempatkan 137 dan 108 orang, menurut JPBD.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir kekal 2,036 orang daripada 686 keluarga setakat 9 pagi ini yang ditempatkan di lapan PPS di daerah Pasir Mas.

Sementara itu, di MELAKA, jumlah mangsa berkurangan kepada 53 orang melibatkan 15 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 59 orang dari 16 keluarga, malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa terjejas adalah dari Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau, Kampung Belimbing, Pengkalan, Kampung Panchor dan Taman Tamby Chik Karim.

Di PULAU PINANG, sebuah PPS dibuka 4 petang semalam di Dewan Banjir Desa Puri menempatkan 42 orang selepas kawasan tersebut sekali lagi dilanda banjir ekoran hujan lebat.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata kebanyakan penduduk yang dipindahkan ditempatkan di PPS tersebut sejak Sabtu dan Ahad, ekoran hujan lebat dan banjir yang melanda petang Jumaat lepas.

Sebelum ini, empat PPS dibuka di Pulau Pinang dan menempatkan lebih 300 mangsa.

Di KEDAH jumlah mangsa banjir kekal 53 orang daripada 14 keluarga yang masih ditempatkan di dua PPS di daerah Kulim dan Bandar Baharu.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata sebanyak 40 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di PPS Masjid Sungai Seluang di daerah Kulim.

“Di daerah Bandar Baharu, 13 orang daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Surau Kampung Berjaya yang dibuka 6 petang, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

— BERNAMA

 


Pengarang :