Mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah. Foto Facebook APM Negeri Kedah
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di tiga negeri termasuk Selangor meningkat

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Jumlah mangsa banjir di Johor, Selangor dan Melaka menunjukkan peningkatan manakala di Kelantan dan Perak merekodkan penurunan pada petang ini, berbanding pagi tadi.

Di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan memaklumkan empat daerah masih terjejas dengan banjir kilat membabitkan Tangkak, Kluang, Segamat dan Pontian, yang menyaksikan peningkatan jumlah mangsa kepada 345 orang setakat 4 petang ini berbanding 335 mangsa pagi tadi.

Menurut kenyataan itu, kesemua mangsa yang terdiri daripada 87 keluarga masih ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS), dengan dua daripadanya dekat Segamat, iaitu di Balai Raya Kampung Batu Badak dan Dewan Komuniti Tasek.

PPS lain terdiri daripada Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof di Kluang, Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, Pontian, dan PPS yang beroperasi di daerah Tangkak adalah SK Simpang 5 Darat serta Sekolah Agama Simpang 5 Darat.

Di Selangor, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir kepada 184 mangsa daripada 51 keluarga setakat 2 petang ini berbanding 163 mangsa daripada 46 keluarga, pagi tadi.

Sebanyak tiga PPS masih beroperasi di negeri berkenaan iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh; Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Chih Batang Berjuntai, masing-masing di Kuala Selangor.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir turut meningkat kepada 76 mangsa melibatkan 24 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 66 orang daripada 21 keluarga pada pukul 8 pagi tadi, melibatkan kawasan di Alor Gajah dan Masjid Tanah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam kenyataannya memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan ke tiga PPS iaitu di Balai Raya Kampung Gadek, Dewan Japerun Durian Tunggal serta Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri Kesidang.

Sementara itu Kelantan merekodkan 2,090 mangsa daripada 692 keluarga ditempatkan di lapan PPS di daerah Pasir Mas berbanding 2,124 mangsa daripada 713 keluarga, pada pukul 9 pagi tadi.

Di Perak, jumlah mangsa banjir juga menurun kepada 194 mangsa pada 5 petang berbanding 245 mangsa tengah hari tadi susulan penutupan dua PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Piandang, Seputeh di Ipoh dan Dewan Orang Ramai Kampung Jelapang, di daerah Larut Matang dan Selama.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berkata penutupan kedua-dua PPS itu sekali gus menjadikan lima PPS masih beroperasi sehingga kini.

Selain itu di Kedah, Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri itu Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata PPS Surau Ittifaqiah, Baling yang menempatkan 19 mangsa daripada tujuh keluarga pagi tadi ditutup sepenuhnya pada 2 petang.

“Sementara itu, di daerah Kulim mangsa yang masih ditempatkan di PPS Masjid Sungai Seluang kekal 42 mangsa daripada 11 keluarga, setakat 4 petang ini,” menurut kenyataan.

-BERNAMA


Pengarang :