Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Skim Insurans Am Selangor ketika Jelajah Selangor Penyayang Daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 30 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: 596,932 individu daftar skim insurans percuma setakat semalam

OLEH NORZILAWATI SIDEK

SHAH ALAM, 9 NOV: Seramai 596,932 penduduk negeri ini mendaftar skim Insurans Am Selangor (INSAN) yang ditawarkan Kerajaan Negeri mulai 1 Oktober hingga semalam.

Dato’ Menteri Besar berkata mereka yang telah berdaftar boleh menghubungi pusat khidmat atau memuat turun aplikasi Wavpay untuk mengesahkan pendaftaran mulai minggu depan.

“Mereka perlu mengesahkan satu dua perkara untuk memiliki perlindungan yang dijamin oleh Kerajaan Negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau juga yakin sasaran satu juta individu berdaftar dicapai menjelang Disember dan kuota enam juta dipenuhi sepanjang tahun sehingga 30 September 2023.

INSAN yang menawarkan perlindungan insurans am berkumpulan kepada individu berumur dari 30 hari sehingga 80 tahun boleh didaftar mulai 1 Oktober lalu hingga 30 September tahun depan.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi e-dompet Wavpay yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play sementara maklumat lanjut boleh diperoleh melalui pautan www.wavpay.net


Pengarang :