Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan di Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 23 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: 796 pusat pemindahan bah di Selangor lengkap kemudahan asas

SHAH ALAM, 23 NOV: Sebanyak 796 pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor dilengkapi kemudahan asas untuk keselesaan mangsa banjir, maklum Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pusat terbabit memiliki ruangan, bekalan air bersih, elektrik, tandas, fasiliti yang selamat digunakan dan barangan bantuan asas.

“Stok keperluan asas seperti kit kebersihan, kit kaunseling dan 10,345 khemah serta 332 penghadang mudah alih (mobile partition) disediakan di 11 daerah negeri ini,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Ijok Dr Idris Ahmad berhubung keadaan PPS di negeri ini dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri sentiasa memastikan permohonan bantuan banjir diproses dengan baik tanpa sebarang penyelewengan, bertindih atau tercicir.

“Bantuan segera disalurkan untuk permohonan lengkap dan mendaftar berpindah ke PPS. Mangsa yang tidak berpindah pula perlu mengepilkan laporan polis bagi mengelakkan penyelewengan,” katanya.


Pengarang :