Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas sidang media Kejohanan Golf Selangor Masters di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 22 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Belanjawan 2023 tumpu strategi depani kemelesetan ekonomi

PETALING JAYA, 22 NOV: Belanjawan Selangor 2023 yang akan dibentang Jumaat ini menumpukan strategi mendepani gelombang kemelesetan ekonomi.

Dato’ Menteri Besar berkata situasi ekonomi dijangka mencabar tahun depan berikutan krisis bekalan makanan, ketidakseimbangan politik selain dampak pandemik Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan beberapa aspek turut diberi perhatian membabitkan golongan muda, wanita dan kegiatan ekonomi.

“Selepas kita memperkenalkan istilah tahan uji, dalam belanjawan kali ini kita cuba menjadikan Selangor bukan sahaja tahan uji tetapi boleh menongkah gelombang ekonomi.

“Kita mahu menjadikan Selangor lebih perkasa dan gagah serta meneruskan sifat penyayang,” katanya pada sidang media Kejohanan Golf Master di Kelab Golf Seri Selangor di sini hari ini.

Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang ditangguh sebelum ini dijadual bermula esok, termasuk Belanjawan Selangor 2023 yang dibentangkan dua hari kemudian.

Disiarkan secara langsung menerusi SelangorTV dan Facebook Media Selangor pembentangan belanjawan itu disampaikan Dato’ Menteri Besar pada jam 3 petang.

Liputan berita belanjawan itu pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my. Pembentangan  turut dilaporkan portal Selangor Journal dan Selangorkini edisi Mandarin dan Tamil.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengajak rakyat menyertai tinjauan umum bagi berkongsi cadangan dalam merangka Belanjawan Selangor 2023. Ia bertujuan menjadikan belanjawan tersebut lebih inklusif dan memanfaatkan semua pihak.


Pengarang :