AGENDANASIONAL

MB, dua EXCO cuti daripada tugas rasmi, fokus PRU15 mulai esok

SHAH ALAM, 4 NOV: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bercuti sepanjang tempoh pilihan raya.

Sekretariat akhbar Dato’ Menteri Besar dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat bagi menjamin kebertanggungjawaban calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bermula esok sehingga hari mengundi pada 19 November.

Ahli yang terlibat ialah Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merangkap calon Parlimen Gombak, EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (calon Parlimen Ampang) dan EXCO Kerajaan Prihatin Ganabatirau Veraman (calon Parlimen Klang).

“… akan bercuti dari tugasan rasmi atas kapasiti masing-masing (kecuali hari yang ditetapkan untuk MMKN) di dalam Kerajaan Negeri bagi menjamin kebertanggungjawaban sepanjang tempoh Pilihanraya Umum berlangsung,” menurut kenyataan.

Dalam PRU15, Amirudin diumum sebagai calon Parlimen Gombak menentang penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Manakala Rodziah Ismail (Ampang) akan mencabar penyandangnya, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Ganabatirau bertanding di kerusi Parlimen Klang menentang calon Perikatan Nasional (PN) Dr Jaya Chandran Perumal.


Pengarang :