Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penduduk ketika majlis ramah mesra bersama jemaah surau dan petugas parti daerah mengundi Gombak Setia di Taman Selasih, Gombak pada 31 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

MB: Faktor parti bakal tentukan kemenangan kerusi Gombak

GOMBAK, 1 NOV: Dato’ Seri Amirudin Shari percaya keputusan dalam saingan kerusi Parlimen Gombak bukan ditentukan faktor individu sebaliknya didorong kewibawaan parti.

Menjangka saingan sengit, calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berkata jentera parti perlu bekerja keras bagi memastikan kerusi tersebut kekal di tangan Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bukan tugasan mudah sebab bertembung dengan orang yang pernah menjadi wakil rakyat tiga penggal, namun saya percaya kemenangan dan kejayaan bukan faktor individu sebaliknya parti.

“Jika bertanding menggunakan lambang kunci atau katak sekalipun akan hancur tetapi bertanding atas tiket KEADILAN atau HARAPAN akan menyumbang kemenangan,” katanya dalam majlis ramah mesra bersama jentera parti di sini malam tadi.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar percaya Parlimen Gombak bakal menjadi medan pertempuran hebat dan mengakui bukan tugasan mudah untuk menang kerusi berkenaan yang telah “dicemari”.

Pengerusi HARAPAN Selangor itu dipercayai merujuk perbuatan penyandang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang menang kerusi tersebut atas tiket KEADILAN sebelum mengalih sokongan.

“Kita kena bersihkan nama khianat di Gombak dengan terus menangkan HARAPAN dalam pilihan raya,” kata Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar.

Amirudin dijangka bertembung dengan Azmin yang dianggap antara watak utama mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.


Pengarang :