Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program Santai Bersama Dato’ Menteri Besar di pasar malam Seksyen 18, Shah Alam pada 14 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Jangan cepat selesa, kerja keras pertahan kerusi Shah Alam

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 15 NOV: Jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) diingatkan untuk tidak selesa meskipun diyakini mampu mempertahan kerusi Parlimen Shah Alam.

Dato’ Menteri Besar menasihatkan mereka bekerja keras dalam kempen bagi memastikan kerusi itu kekal milik gabungan berkenaan dalam pilihan raya umum ke-15.

“Insya-Allah, saya yakin (mengekalkan HARAPAN di Shah Alam). Tapi kita kena kerja keras. Ada baki lima atau enam hari jangan ambil mudahlah.

“Saya masihatkan (kepada) semua jangan ambil mudah dan jangan rasa selesa,” katanya selepas berkempen membantu calon HARAPAN Shah Alam Azli Yusof di Seksyen 18 di sini semalam.

Amirudin menjawab soalan sama ada gabungan itu boleh mengekalkan penguasaan di Parlimen Shah Alam. Kempen pilihan raya umum memasuki hari ke-10 pada 14 November.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) bersama calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Shah Alam Azli Yusof (tiga, kanan) beramah mesra bersama penduduk ketika program Santai Bersama Dato’ Menteri Besar di pasar malam Seksyen 18, Shah Alam pada 14 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata keyakinan itu berasaskan tradisi penguasaan HARAPAN di kawasan tersebut sejak tiga penggal lalu serta pelbagai tawaran Kerajaan Negeri kepada rakyat.

“Saya percaya, kita masih mempunyai kekuatan yang boleh menguja pengundi untuk turun berdasarkan layanan dan perkhidmatan yang kita berikan dalam Selangor melalui Ahli Dewan Negeri kita.

“Mereka (pengundi) dapat bukti nyata yang dirasai, bukan lagi tawaran yang masih tidak nampak,” kata beliau, yang turut bertanding di Parlimen Gombak.

Mengakui pengundian di Shah Alam “sengit”, namun Amirudin percaya gabungan itu boleh memberi dampak besar dan kekuatan Perikatan Nasional (PN) bergantung kepada jentera PAS.

Azli dicabar tiga lagi calon iaitu Isham Jalil daripada Barisan Nasional, Dr Afif Bahardin (PN) dan Rafique Rashid daripada Pejuang.

Pada pilihan raya umum 2018, calon HARAPAN Khalid Samad mempertahan kerusi yang dimenanginya sejak 2008 dengan majoriti 33,849 undi. Beliau mendapat 55,949 undi.


Pengarang :