Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyusun barangan jualan ketika Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 18 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Jelajah jualan murah negeri dilanjut hingga Mac tahun depan

GOMBAK, 5 NOV: Dato’ Menteri Besar mengumumkan inisiatif jualan murah barangan asas anjuran negeri yang sepatutnya tamat Disember disambung hingga Mac tahun depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan melanjutkan Jelajah Ehsan Rakyat dibuat bagi membantu lebih ramai pengguna yang terkesan dengan kos kenaikan harga barang ketika ini.

“Kita akan tambah lagi peruntukan dengan sebahagian daripada anak syarikat dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang mengendalikannya,” katanya selepas program bersama rakyat di Kampung Sungai Salak di sini hari ini.

Menerusi jualan murah tersebut, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur (RM10 sepapan).

PKPS turut menawarkan ikan kembung atau selayang pada harga RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk menjayakan jualan murah di seluruh 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember ini.

Amirudin yang juga calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Gombak berkata beliau bersedia berkongsi resepi Kerajaan Selangor menjual barangan keperluan pada harga murah jika gabungan itu menang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, Putrajaya kini dilihat gagal menangani kenaikan kos harga barang yang mencengkam rakyat meskipun mewujudkan pelbagai jawatankuasa seperti Pasukan Khas Tangani Jihad

Tegasnya, pasukan terbabit dilihat lambat bertindak sedangkan Kerajaan Selangor menggunakan sumber sedia ada menjelajah ke 300 lokaliti untuk menjual murah barangan keperluan.

“Di pusat pula masih belum menyeluruh dan lambat, sebab itu kita ambil langkah jangka pendek (anjur jualan murah).

“Namun kita perlu buat langkah jangka panjang, dengan peruntukan dan kuasa ada di tangan mereka (Putrajaya) ia sebenarnya boleh diatasi,” katanya.


Pengarang :