Aliran trafik di Lebuh Raya Utara Selatan sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang di kedua-dua arah bergerak perlahan berikutan orang ramai pulang ke destinasi masing-masing sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika tinjauan pada 17 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MB nasihat perantau hati-hati pulang mengundi, rancang perjalanan elak terburu-buru

GOMBAK, 17 NOV: Dato’ Menteri Besar menasihati perantau yang mahu pulang ke kampung untuk mengundi supaya berhati-hati di jalan raya bagi mengelak insiden tidak diingini.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menggalakkan pemilih luar Selangor memulakan perjalanan lebih awal berikutan esok diisytihar sebagai cuti umum sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Alhamdulillah Selangor sudah isytihar esok cuti, begitu juga kerajaan persekutuan. Jadi kepada mereka yang ingin pulang ke kampung halaman, saya galakkan anda semua balik awal tetapi jangan terburu-buru (semasa memandu).

“Pastikan dapat rehat yang cukup dan marilah mengundi Pakatan Harapan (HARAPAN) kerana kita ingin pulihkan negara,” katanya ditemui pada sesi dialog bersama usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) sekitar Gombak di sebuah restoran di sini hari ini.

Pada 9 November lalu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri memberi cuti sehari sebelum hari pembuangan undi bagi memudahkan pemilih di luar Selangor pulang ke kampung.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan ketika Sesi dialog komuniti usahawan Gombak di My Dulang Cafe, Gombak pada 17 November 2022.Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mengulas perjalanan kempen yang menghampiri kemuncak, calon HARAPAN Parlimen Gombak berterima kasih kepada jentera gabungan itu yang bertungkus-lumus dari awal demi merampas kerusi terbabit.

“Kempen semakin hari semakin rancak dan saya menasihatkan (kepada jentera) bahawa kita harus bekerja sampai ke saat terakhir untuk memastikan kemenangan.

“Saya percaya bahawa kita perlu mencuba sedaya upaya selain mencapai seramai mungkin (pengundi) sebab ada pertambahan besar pengundi (pada pilihan raya kali ini),” katanya.


Pengarang :