Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO negeri Ir Izham Hashim dan V Ganabatirau melihat pelan susun atur projek mendalam dan melebarkan sungai bagi tebatan banjir Sungai Klang di Kota Kemuning, Shah Alam pada 1 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: PBT giat lengkapkan persediaan berdepan bah, jalani latihan menyelamat

SHAH ALAM, 1 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) giat melengkapkan persiapan bagi mendepani kejadian banjir yang diramal berlaku bulan ini.

Dato’ Menteri Besar berkata ia merangkumi kesiapsiagaan anggota di lapangan, penyediaan aset serta keperluan menyelamatkan penduduk yang terkesan.

“Beberapa minggu lepas kita sudah jelaskan beberapa perancangan termasuk pembabitan lebih 15,000 anggota menyelamat, kenderaan dan jentera selain melatih sukarelawan dengan pihak bomba.

“Kita fokuskan kepada penyelengaraan sistem saliran selain EXCO dan Ahli Dewan Negeri juga bekerjasama sepenuhnya untuk menangani kejadian bah yang diramal Jabatan Meteorologi berlaku bulan ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan projek mendalam dan melebarkan Sungai Klang berhampiran Kota Kemuning di sini, hari ini.

Anggota Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) MPKL menjalani latihan amal dan simulasi bencana di pesisir lombong Kampung Olak Lempit, Kuala Langat pada 26 Oktober 2022. Foto MPKL

Pada Oktober, seramai 37 sukarelawan Selangor (Serve) Rescue menjalani latihan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor bagi mempelajari kaedah menyelamat mangsa banjir.

Selain itu, sebanyak 67 agensi membabitkan 343 peserta juga menjalani latihan amal dan simulasi untuk berdepan musibah tersebut.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan bermula pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar.

Sementara Agensi Pengurusan Bencana Negara mengenal pasti lapan daerah di Selangor sebagai lokasi kerap banjir iaitu Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Anggota Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor ketika mengadakan sesi latihan penyelamatan di air bertempat di Tasik Puchong Prima pada 24 September 2022. Foto Facebook MBSJ

 


Pengarang :