Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama trofi penaja Kejohanan Golf Selangor Masters di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 22 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Pelancongan sukan makin rancak, beri impak pemulihan ekonomi

PETALING JAYA, 22 NOV: Pelancongan sukan di Selangor kembali rancak melalui penganjuran beberapa kejohanan berprestij, selepas dua tahun terhenti akibat pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata acara sukan dianjur dalam fasa pascapandemik pada tahun ini seperti Kejohanan Badminton Asia, Le Tour De Langkawi dan Golf Master Selangor yang membuka tirai esok.

“Jadi ini satu tarikan dan pemulihan ekonomi melalui kegiatan pelancongan tetapi penggerak utama adalah aktiviti sukan,” katanya pada sidang media di Kelab Golf Seri Selangor di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata beberapa kelab golf negeri ini sering menjadi tumpuan sama ada pemain profesional, amatur mahupun pemain sosial.

“Kelab Golf Seri Selangor merupakan salah satu daripada daya penarik tersebut kerana kalau kita dapat lihat padang ini sentiasa dipenuhi golongan berkenaan terutama pada hujung minggu serta hari pelepasan am,” katanya.

Belanjawan Selangor 2022 menyediakan inisiatif berjumlah RM114.6 juta bagi tempoh 2021 hingga 2025 untuk membantu penggiat pelancongan antaranya geran pemulihan serta promosi pascapandemik.

Pada 11 September, Amirudin memaklumkan aspek pelancongan turut diberi penekanan dalam Belanjawan Selangor 2023, dengan tumpuan untuk merancakkan industri pascapandemik.


Pengarang :