Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penyokong ketika Himpunan Gombak Bermaruah dan Pelancaran Jentera Pakatan Harapan P098 Gombak di Dewan Sri Siantan, Gombak pada 3 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Peruntukan agama Islam kekal tertinggi, tulisan jawi dimartabat

GOMBAK, 4 NOV: Kerajaan Selangor tidak pernah sesekali mengurangkan peruntukan tahunan agama Islam seperti dakwaan pemimpin tertentu dalam ceramah pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga calon Parlimen Gombak menegaskan peruntukan tersebut kekal paling besar demi memartabat syiar Islam.

Beliau percaya isu itu dijadikan modal politik bagi merosakkan nama baik pentadbiran negeri yang berusaha menjaga kepentingan umat Islam sebaik mungkin.

“Kononnya Selangor mengurangkan peruntukan agama Islam. Kenapa ada kurang sampai RM60 juta? Saya semak angka, tak sampai. Kita kurangkan sebab beberapa projek sudah selesai.

“Kalau masjid hendak dibina sebagai contoh. Tahun pertama, kita tidaklah belanja sampai RM15 juta, kita belanja RM2 juta. Tahun kedua, mungkin perbelanjaan RM3 juta. Dan ini perbelanjaan yang dicadangkan pegawai-pegawai.

“Kita buat belanjawan bukan mimpi atas kayangan dan terus sebutkan angka,” katanya dalam majlis pelancaran jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi parlimen itu di sini malam tadi.

Pengerusi HARAPAN Selangor itu menjawab dakwaan penyandang kerusi Parlimen Gombak Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada 29 Oktober lalu kononnya peruntukan agama Islam selepas zaman pentadbirannya berkurangan RM60 juta setahun.

Sambil menolak tuduhan kononnya diperguna pihak luar, Amirudin secara tegas berkata beliau sejak dulu berusaha memelihara kesucian agama, bahkan mempertahan tulisan jawi di papan tanda jalan.

Beliau kemudian mendedahkan Azmin ketika masih Dato’ Menteri Besar berdiam diri apabila ada cadangan supaya tulisan pelbagai bahasa dimuat dalam papan tanda selain rumi dan jawi.

“Saya ada dalam mesyuarat EXCO. Ada cadangan untuk mengutarakan papan tanda pelbagai bahasa. Kenapa dia (Azmin) tidak bersuara ketika itu?

“Tapi Amir ini, alhamdulillah saya dikurniakan kekuatan dan keberanian. Saya kata dasar kita jelas, Akta Bahasa Kebangsaan (1963/67) jelas. Kita kekalkan bahasa Melayu dan tulisan jawi di papan tanda,” katanya, tegas dan penuh bersemangat.


Pengarang :