Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan Tamiya 4 wheel ketika menghadiri Hari Mini Tamiya 4 Wheel Carnival anjuran Pemadam Negeri Selangor di Dewan AU5C, Keramat pada 6 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN /SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB pesan waspada kes Covid-19, ajak turun undi kerana ramai divaksin

OLEH AZIAN AZIZ

GOMBAK, 7 NOV: Dato’ Menteri Besar mengingatkan penduduk Selangor untuk sentiasa berwaspada terhadap gelombang kecil Covid-19 yang mendorong peningkatan kes ketika ini.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari berharap mereka yang sihat dan lengkap suntikan vaksin supaya tidak bimbang untuk keluar mengundi pada 19 November.

“Kita semua baharu lalui (pandemik Covid 19) dan masing-masing faham, cuma kita boleh ingatkan. Insya-Allah dalam kempen kita akan ingatkan rakyat supaya berjaga-jaga.

“Tetapi mengundi juga tanggungjawab besar yang tidak boleh diabaikan. Saya bimbang kerana terlalu fokus (Covid-19) ramai takut keluar mengundi sedangkan sebahagian besar dilindungi vaksin kecuali yang ada sejarah penyakit,” katanya ditemui di sini semalam.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika menghadiri Hari Mini Tamiya 4 Wheel Carnival anjuran Pemadam Negeri Selangor di Dewan AU5C, Keramat pada 6 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN /SELANGORKINI

Calon Pakatan Harapan Parlimen Gombak turut mengingatkan semua calon untuk merangka strategi betul bagi menyampaikan mesej kepada pengundi terutama ketika musim tengkujuh.

Malaysia kini berdepan gelombang kecil penularan virus Covid-19 selepas mencatatkan empat kes daripada subvarian Omicron XBB minggu lalu.

Amirudin yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat lagi pencabar.

Calon lain yang diumumkan ialah penyandang tiga penggal kerusi itu Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mewakili Perikatan Nasional dan Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Barisan Nasional).

Dua lagi calon ialah Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan seorang calon Bebas Zulkifli Ahmad.

 


Pengarang :