Pengundi Gombak menunaikan kewajipan sebagai pengundi sempena pilihan raya umum ke-15 di pusat mengundi Sekolah Rendah Klang Gate pada 19 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: PRN Selangor dijangka berlangsung pertengahan tahun depan

SHAH ALAM, 24 NOV: Pilihan raya negeri (PRN) Selangor dijangka berlangsung pada pertengahan tahun hadapan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari pihaknya akan berbincang dengan lima negeri lain yang belum membubarkan dewan undangan negeri (DUN) agar dapat menjalankan PRN serentak.

“Saya akan berbincang dengan negeri lain termasuk dari negeri bawah Pas (Kelantan, Terengganu dan Kedah) sama ada untuk membubarkan DUN masing-masing.

“Kemungkinan (PRN) selepas raya (Aidilfitri) dan tidak tipis kerana ia tertakluk dengan perbincangan bersama negeri lain,” katanya.

Bercakap kepada pemberita di Lobi Dewan Annex di sini hari ini, Amirudin berkata pertimbangan mengadakan PRN serentak juga mengambil kira faktor penjimatan kos.

“Kita perlu ambik kira kos pegawai, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan lain-lain. Jika SPR dapat kawal keenam-enam dengan baik, baguslah.

“Tetapi jika setiap bulan buat pilihan raya kos tinggi dan bagi saya kita boleh hilang tumpuan pada negara yang akan berdepan dengan cabaran besar,” katanya.

Sebelum ini, negeri bawah Pakatan Harapan iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan bersepakat untuk tidak membubarkan DUN masing-masing pada pilihan raya umum ke-15.

Kedah, Terengganu dan Kelantan bawah pentadbiran PAS turut mengambil langkah sama.


Pengarang :