Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Program tuisyen percuma diperluas kepada murid darjah enam

HULU KELANG, 2 NOV: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bakal diperluas kepada pelajar tahun enam mulai tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif kelas tambahan percuma itu berjaya memanfaatkan 20,000 pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) setakat ini.

“Pendidikan merupakan perkara penting kepada masyarakat dan inilah yang kita buat (PTRS). Kita belanja RM6 juta (setiap tahun) serta menambah lagi peruntukan RM1 juta tahun ini untuk makan tengah hari.

“Alhamdulillah pelaksanaannya berjaya dengan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) disertai maksimum 200 pelajar. Insya-Allah tahun depan kita panjangkan untuk pelajar tahun enam,” katanya dalam ucapan sempena majlis jamuan rakyat dan ceramah di Skate Park AU5 di sini, semalam.

Pada 26 November tahun lepas, Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 mengumumkan peruntukan sebanyak RM7 juta untuk menjayakan PTRS tahun ini.

Peruntukan itu antaranya bagi memantapkan pengisian portal ePTRS.my dan mengukuhkan kemahiran guru.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan Kerajaan Selangor sentiasa ke depan dalam membangun masyarakat dengan ilmu pengetahuan.

“Kita tidak minat buat kerja-kerja populis sebab kita mahu bangunkan masyarakat dengan semangat dan fikiran yang betul.

“Bukan menggilai dan mengidolakan satu dua pimpinan yang merasakan boleh selesaikan semua masalah serta tidak bincang sebagai satu polisi,” katanya.


Pengarang :