Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menyapa penduduk yang hadir ketika program Vaksinasi Selcare di Keramat Permai, Gombak pada 13 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB sasar 5,000 individu terima vaksin pneumokokal, influenza percuma

Oleh Azian Aziz

GOMBAK, 13 NOV: Seramai 5,000 individu terdiri warga emas, 60 tahun ke bawah dan golongan berisiko dijangkiti penyakit di negeri ini disasar menerima vaksin pneumokokal dan influenza percuma mulai hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebagai permulaan, vaksin tersebut diberikan kepada golongan warga emas termasuk yang berada di rumah jagaan orang tua.

“Selepas itu, kita sasarkan pula golongan bawah 60 tahun dikuti golongan komorbiditi yang berdepan masalah kesihatan terutama masalah pernafasan yang teruk.

“Setiap orang akan mendapat dua suntikan vaksin iaitu pneumokokal dan influenza. Jumlah keseluruhan ialah 10,000 dos vaksin percuma (5,000 dos vaksin pneumokokal, 5000 dos vaksin influenza),’’ katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau program Vaksinasi Selcare di Surau Al–Hidayah, Taman Keramat Permai melibatkan kira-kira 200 individu di sini, hari ini.

Amirudin memaklumkan program vaksin secara percuma diteruskan pada tahun hadapan jika inisiatif tersebut mendapat sambutan.

“Jika dapat sambutan mungkin saya boleh masukkan dalam bajet tahun depan sebab saya masih dalam rangka bajet, kita boleh jadualkan pada 25 November ini,’’ katanya.

Pada 10 November, Amirudin mengumumkan dana RM1.5 juta dalam menyediakan 10,000 dos vaksin secara percuma bagi memastikan kesihatan penduduk berisiko tinggi terpelihara.

Dato’ Menteri Besar berkata fasa pertama program yang bermula pada 14 November sehingga 31 Disember ini menyasarkan rumah jagaan orang tua, warga emas dan pemegang kad Iltizam Selangor Sihat (ISS).

Tambah beliau inisiatif tersebut dijayakan Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Majlis Penasihat Kesihatan Awam Selangor (Selphac).

Petugas kesihatan memeriksa tekan darah sebelum membenarkan suntikan vaksin pneumokokal dan influenza kepada warga emas ketika program Vaksinasi Selcare di Keramat Permai, Gombak pada 13 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :