Penganut sikh ketika mendengar ucapan Calon Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari ketika Santai Bersama Persatuan Gurdwara Sahib Selayang di Gurdwara Sahib Selayang, Gombak pada 7 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Selain masjid, gurdwara turut ditambah baik

GOMBAK, 8 NOV: Selain memajukan masjid di sini, Kerajaan Negeri dalam proses menyediakan Gurdwara Sahib baharu di Kampung Laksamana dengan kemudahan selesa dan ruang parkir yang lebih luas.

Dato’ Menteri Besar berkata pusat keagamaan sedia ada di Selayang yang sebelum ini memanfaatkan masyarakat Sikh sekitar Rawang dan Gombak tidak mampu memuatkan banyak kenderaan.

“Dalam peraturan kita hanya benarkan 10,000 kaki per segi untuk bangunan sahaja dan parkir juga akan disediakan. Saya juga ingin mencadangkan supaya syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) atau pemaju membeli tapak ini (Gurdwara Sahib Selayang).

Calon Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman bersama penganut sikh ketika Santai Bersama Persatuan Gurdwara Sahib Selayang di Gurdwara Sahib Selayang, Gombak pada 7 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Apabila beli kawasan ini, Gurdwara mempunyai cukup wang untuk membina Gurdwara baharu lebih luas, selesa dan kemudahan baik kepada komuniti Sikh sekitar Rawang serta Gombak,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam program santai bersama Persatuan Gurdwara Sahib Selayang malam tadi.

Pada 28 Oktober lalu, Amirudin memberitahu, Kerajaan Negeri juga akan menambah baik Masjid Kampung Sungai Chinchin dan Masjid An Nur Kampung Wira Damai di sini.

Dalam pada itu, calon Parlimen Gombak berkata Selangor di bawah pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) sentiasa memastikan masyarakat berbilang kaum negeri ini menikmati arus pembangunan.

Beliau menambah Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan untuk pembangunan masjid selain penubuhan jawatankuasa yang menumpukan kaum Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (Limas).

“Kefahaman, ideologi dan kepercayaan bukanlah sesuatu yang harus jadi perpecahan, sebaliknya satu ikatan sesama kita,” katanya lagi.


Pengarang :