Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan amanatnya ketika Ceramah Mega HARAPAN Gombak sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Pinggiran Batu Caves, Gombak pada 17 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB tolak pujukan khianat mandat oleh Muhyiddin, elak negeri tidak stabil

GOMBAK, 18 NOV: Dato’ Seri Amirudin Shari mendedahkan beliau pernah menolak tawaran Tan Sri Muhyddin Yassin untuk memujuk wakil rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor mengalihkan sokongan dengan menawarkan habuan wang serta jawatan.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, tindakannya enggan bekerjasama dengan golongan pengkhianat terbabit bagi mengelakkan pentadbiran Kerajaan Selangor menjadi tidak stabil.

Amirudin berkata beliau bertemu dengan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu di kediamannya beberapa hari sebelum Langkah Sheraton pada 23 Februari 2020.

“Saya cakap Tan Sri Selangor tidak boleh ikut. Saya pegang kepada janji wakil-wakil rakyat Selangor termasuk saya tidak ikut khianat mandat rakyat.

“Saya bimbang wujud kerajaan tak stabil. (jangka) Perak akan tumbang, Kedah tumbang dan Johor tumbang,” kata calon HARAPAN Parlimen Gombak itu pada ceramah mega di Pinggiran Batu Caves malam tadi.

“Ternyata apa saya agak betul-betul berlaku. Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) dari menteri besar Perak tumbang. Siapa tumbangkan? Bukan HARAPAN tetapi Barisan Nasional (BN)/ Umno).”

Penyokong HARAPAN melaungkan slogan ‘kita boleh’ sambil menyalakan lampu telefon bimbit tanda menyokong calon HARAPAN Parlimen Gombak ketika Ceramah Mega HARAPAN Gombak sempena PRU15 di Pinggiran Batu Caves, Gombak pada 17 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu turut mendedahkan Muhyiddin memintanya memujuk wakil rakyat Amanah, DAP dan Keadilan dengan menawarkan RM10,000 sebulan dan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Untuk apa? jadi pengkhianat. Selepas itu saya tidak mahu duduk dengan Muhyiddin kerana ini akan merosakkan negeri dan pemimpin,” tegasnya yang mendapat sorakan ramai.

Langkah Sheraton yang menyaksikan pembelotan wakil rakyat, lompat parti dan perpecahan dalam gabungan politik menyebabkan pentadbiran negara tidak stabil ketika berdepan Covid-19.

Penyandang Parlimen Gombak Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.

Selain Mohamed Azmin, Amirudin yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai calon nombor dua dalam kertas undi turut berdepan empat lagi pencabar bagi Parlimen Gombak.


Pengarang :