Dato’ Seri Amirudin bersalaman dengan pesakit strok, Adi Effendi Malek sambil diperhatikan isterinya, Rozyati Sarip Ahmad di kediaman pesakit itu di Taman Melawati, Hulu Klang semalam. Foto Pejabat Menteri Besar
AGENDANASIONAL

MB ziarah dua pesakit strok, usahakan khidmat pakar fisioterapi

OLEH AZIAN AZIZ

GOMBAK, 9 NOV: Walaupun hujat lebat, Dato’ Seri Amirudin Shari meneruskan kempen bersama jentera menziarahi dua keluarga pesakit strok di Taman Melawati di sini semalam.

Dalam kunjungan ringkas itu, calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Gombak bertanya khabar dan mendengar masalah yang dihadapi dua keluarga berkenaan.

Rozyati Sarip Ahmad, 32, ketika ditemui mengakui terkejut Dato’ Menteri Besar sudi menziarahi suaminya Adi Effendi Malek, 44, yang diserang penyakit itu dua tahun lalu.

“Selepas melihat keadaan suami dan mendengar masalah kami, beliau akan mendapatkan khidmat pakar fisioterapi yang dikenalinya ke rumah kami untuk merawat suami,” kata suri rumah itu.

Menurut ibu empat anak itu, suaminya yang tidak mampu lagi bekerja kerana lumpuh bahagian kanan badan dan tidak boleh bercakap menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor.

Jelasnya, mereka turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat bernilai RM500 selain sumbangan masjid dan ahli keluarga untuk meneruskan hidup.

“Bantuan dijanjikan sangat bermakna dan melegakan saya. Apabila ahli fisioterapi ke rumah, suami akan dapat rawatan lebih kerap. Semoga beliau terus menjadi pemimpin terbaik untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, Rosni Mohd Noor, 70, yang merupakan pesakit strok sejak 29 tahun lalu turut gembira dikunjungi pemimpin muda yang baik dan mesra rakyat.

“Selain bertanya khabar, beliau juga memberitahu usahanya untuk mengatasi masalah banjir,” kata ibu tunggal yang menetap di kediaman arwah suaminya bersama dua anak dan seorang cucu.


Pengarang :