Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan bakul makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Johan Setia, Klang pada 10 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI agih makanan, kit kebersihan buat mangsa bah di pusat pemindahan

KLANG, 11 NOV: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menghantar bantuan awal kepada mangsa banjir di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di sini malam tadi.

Sumbangan meliputi 50 karton air mineral dan makanan kering seperti mi segera dan roti yang diagih sejurus menerima maklumat, kata Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau memaklumkan keperluan lain juga akan diberikan dalam tempoh terdekat termasuk kit banjir mengandungi alatan kebersihan peribadi, toto dan selimut serta tuala wanita.

“Biasanya di PPS mengalami masalah tuala wanita tidak cukup, jadi kita sediakan barangan ini supaya terjaga keperluan mereka. MBI akan bekerjasama dengan unit bencana untuk selaraskan agihan,” katanya ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia.

Malam tadi, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau ke tiga PPS di SK Johan Setia, SK Sungai Binjai, Meru dan Dewan Orang Ramai Kampung Budiman yang menempatkan 211 mangsa.

Mangsa paling ramai ditempatkan di Johan Setia seramai 147 individu dan masing-masing 32 mangsa di Meru dan Kampung Budiman dengan kesemua menerima bantuan makanan sumbangan Kerajaan Negeri.

Keadaan banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Meru susulan hujan lebat kira-kira dua jam pada petang 10 November 2022. Foto BERNAMA

Pengarang :